Thursday, July 18, 2013

Conton Karangan Jenis Ulasan Buku



Contoh Karangan Jenis Ulasan Cerpen

Judul cerpen: Sebutir Pasir di Kaki.

Nama Pengarang: Norhisham Mustafa

Penerbit: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun: 2000

Saya telah terbaca sebuah cerpen dalam buku antologi “Kerusi” yang bertajuk "Sebutir Pasir di Kaki".  Cerpen ini ditulis oleh Norhisham Mustafa dan sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa keistimewaan cerpen ini yang ingin saya paparkan kepada semua pembaca. Tema, persoalan, plot, nilai dan pengajaran yang diketengahkan dalam cerpen ini telah berjaya dijalin dengan sempurna dan dapat memikat pembaca.

Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Fuad. Dia berasa marah apabila mendapati geran tanah pusaka milik keluarganya diambil oleh Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad marah kerana kejadian itu berlaku ketika dia berada di Singapura. Dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Datuk Sukar untuk meminta geran tanah tersebut semula. Fuad bersemuka dengan orang kaya itu dan Datuk Sukar menjelaskan bahawa tanah itu akan dijadikan tapak kilang tekstil oleh sebuah syarikat dari Hong Kong. Datuk Sukar menyatakan bahawa tauke Ban Heng hendak memajukan tanah tersebut secara usaha sama dengan tujuan untuk memanfaatkan tanah tersebut. Walaupun Fuad akan memperoleh RM280 ribu sebagai harga tanah tersebut, dia tetap menolaknya. Akhirnya Datuk Sukar memenuhi tuntutan Fuad dan menyerahkan geran tersebut tetapi dia telah menghalau Fuad dari rumahnya, memecatnya dari jawatannya serta memutuskan hubungannya dengan Junainah, malah mengharamkan Fuad daripada menjejakkan kaki di rumahnya.

Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang anak muda dalam mempertahankan haknya. Fuad dengan tegasnya enggan menjual tanahnya sebaliknya berusaha untuk mendapatkan geran tanahnya semula daripada Datuk Sukar. Ketegasan Fuad harus diambil iktibar oleh semua orang supaya dapat menyelamatkan harta pusaka mereka dan tidak mudah ditipu. Persoalan yang timbul selepas membaca cerpen ini ialah tipu helah dan putar belit hartawan dalam usaha hendah merampas harta orang lain. Datuk Sukar sebenarnya membuat rancangannya untuk merampas harta pusaka Fuad dengan memberinya kerja dan merestui hubungan cinta antara Fuad dengan anaknya. Selain itu, kecintaan terhadap tanah pusaka melebihi cinta terhadap seorang gadis juga merupakan salah satu persoalan yang termuat dalam cerpen ini. Fuad rela memutuskan hubungan dengan kekasihnya daripada menyerahkan tanah pusaka milik keluarganya.

Penulis telah meletakkan beberapa watak untuk menyampaikan maksudnya. Fuad, watak utama cerpen ini merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradiknya. Dia berusia 27 tahun dan masih bujang. Dia merupakan pekerja Datuk Sukar dan telah sempat menjalin hubungan kasih dengan anak Datuk Sukar.  Fuad merupakan seorang yang tegas dan sikapnya ini dapat dilihat apabila dia tetap tidak mahu menjual tanah pusaka walaupun ditawarkan harga yang tinggi. Dia juga berani kerana sanggup berjumpa dengan Datuk Sukar untuk mendapatkan penjelasan tentang penyerahan geran tanah oleh ibunya. Selain itu, Datuk Sukar juga merupakan salah satu watak dalam cerpen ini. dia merupakan usahawan yang berjaya dan memiliki kekayaan. Datuk Sukar suka mengambil peluang terhadap orang lain. Hal ini telah dibuktikan apabila dia meminta ibu Fuad untuk menandatangani surat penjualan tanah semasa Fuad berada di Singapura.

Di samping itu, cerpen ini memaparkan latar tempat di sekitar kawasan rumah Fuad dan rumah Datuk Sukar. Selain itu, maktab perguruan dan Dewan Negeri turut menjadi latar tempat dalam cerpen ini. Masyarakat peniaga merupakan latar masyarakat cerpen ini. Golongan peniaga diwakili oleh Datuk Sukar dan tauke Ban Heng. Seterusnya, latar masyarakat cerpen ini ialah masyarakat yang tamak. Datuk Sukar mahu memiliki tanah pusaka kepunyaan keluarga Fuad walaupun dia memiliki banyak harta. Latar masa cerpen ini pula adalah pada waktu petang, waktu Maghrib dan waktu malam.

Beberapa nilai dan pengajaran dapat digarab daripada cerpen ini yang boleh dijadikan teladan.  Antara nilai yang ada dalam cerpen ini ialah nilai kasih sayang.  Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sayang akan ibunya dan kekasihnya, Junainah. Selain itu, watak Fuad juga menggambarkan nilai keberanian.  Sebagai contohnya, dia berani menentang tindakan Datuk Sukar meskipun Datuk Sukar merupakan majikannya. Pengajaran dalam cerpen ini ialah kita mestilah berani mempertahankan hak kita. Fuad berani mempertahankan tanah pusaka keluarganya daripada diambil oleh Datuk Sukar. Pengajaran lain ialah kita hendaklah menghindarkan sikap mementingkan diri. Datuk Sukar mementingkan diri dan tidak berunding dengan Fuad terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil tanah tersebut.

Kesimpulannya, cerpen ini sangat sesuai dibaca oleh remaja khususnya pelajar sekolah kerana ia dapat membina sifat jati diri dalam kalangan remaja. Nilai keberanian yang terpapar dalam cerpen ini dapat dijadikan teladan untuk segenap lapisan masyarakat.  Nilai mulia seperti kasih sayang terhadap ahli keluaga mampu dijadikan teladan dalam kalangan remaja. Dengan adanya sorotan karya ini, ibu bapa dan para remaja sedar akan kepentingan menjaga hak keluarga mereka. Cerpen ini turut ditunjangi penguasaan bahasa yang indah dan berkesan. Oleh itu, cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ karya Norhisham Mustafa wajar dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Soalan Latihan untuk pelajar KVDLM

Anda telah membaca sebuah novel baru-baru ini dan anda dapati ia sangat menarik untuk dibaca khususnya oleh golongan remaja. Tulis ulasan tentang novel tersebut.

No comments:

Post a Comment